Live. And life will follow.

Live. And life will follow.

Saturday 17 October 2015

Bangun Melayu, Bangun ! Bah 21 (Selebriti edisi Apr 2010)

Ini komentar bersiri saya di bawah tajuk Bangun Melayu, Bangun ! yang disiarkan dalam majalah Selebriti edisi April 2010. Rasanya masih juga relevan kandungan dan maksudnya.

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai

Sajak di atas ditulis dan dibaca oleh Dr Mahathir Mohamad pada persidangan UMNO tahun 2001. Hampir 10 tahun kemudian, masih banyak kebenarannya. Dia tidak memperkatakan Melayu di Malaysia. Tiada disebutkan nama mana-mana negara dalam sajak beliau. Bererti ia ditujukan kepada orang Melayu di mana sahaja mereka berada, dari Perth hingga ke Capetown.

Kalau hendak dianalisa dan dikupas memang ruang ini tidak mencukupi. Tapi sekadar bahan renungan, kita semua memang pelupa. Terutama pada perkara-perkara yang kita dipertanggungjawabkan seperti, janji, tugas, hutang, jasa dan sebagainya.

Apakah anda tidak pernah menemui seseorang yang mengatakan ikhlas tetapi kemudian dibangkitkan keihklasannya atas nama ingin menjernihkan sesuatu?

Apakah anda tidak pernah menemui seseorang yang banyak menerima daripada anda tetapi kemudiannya mempersoalkan apakah sumbangan anda?

Apakah anda tidak pernah mempercayai seseorang dengan segala rahsia anda atau harapan anda dan kemudiannya dia pecah di mulut walaupun sudah berjanji untuk pecah di perut?

Apakah anda tidak pernah mangajar seseorang atas dasar ilmu itu harus dikongsi dan kemudiannya ilmu itu digunakan untuk menjatuhkan anda?

Apakah anda tidak pernah memberi kesempatan atau peluang kedua kepada seseorang hanya untuk orang itu kemudiannya mengecewakan anda?

Adakah anda tidak pernah memberi wang atau membenarkan hutang dan kemudiannya si pemiutang seperti tidak mengenal anda dan melayan anda seperti anda pula yang berhutang dengannya?

Apakah anda sudah lupa itu semua atau anda sudah banyak pengalaman dengan Melayu yang mudah lupa.

Tapi di mana kita harus mencari Melayu yang mudah lupa agar kita dapat lebih berwaspada? Adakah mereka bertempat seperti di jawatan tinggi, yang kaya, yang berkuasa atau mereka boleh di dapati juga di lapisan yang berkerat tulang, miskin dan lemah?

Sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ saya akhiri dengan berikut:

Bangun Melayu, Bangun!
Sudah lama kita termenung
Dibadai kelemasan turun-tumurun
Bangun Melayu, Bangun!
Pekerti kita menipis, semangat kita menurun
Apakah ini Melayu bertamadun?
Bangun Melayu, Bangun!
Ingat siapa kita di mata dunia
Darah  perwira, budaya permata
Jangan Melayu lupa, maruah kita di mana.



No comments:

Post a Comment