Live. And life will follow.

Live. And life will follow.

Thursday 15 October 2015

Bangun Melayu, Bangun ! Bah 26 (Selebriti edisi Oktober 2010)

Ini komentar bersiri saya di bawah tajuk Bangun Melayu, Bangun ! yang disiarkan dalam majalah Selebriti edisi Oktober 2010. Rasanya masih relevan kandungan dan maksudnya.

Dengan adanya lelaman sosial seperti Facebook, Multiply dan Twitter maka bertambahlah peluang berinteraksi dan berkomuniti tanpa batas. Hal ini membawa kesempatan bagi orang Melayu untuk membina jalinan dan jaringan perkenalan, baik untuk peribadi maupun bisnis. ‘Kemujaraban’  lelaman sosial Facebook umpamanya membolehkan seseorang untuk mencari teman yang telah lama terputus hubungan atau berhubung dengan keluarga yang tinggal jauh di luar negara.

Pendek kata, sifat berkampung sekarang telah berubah wajah, dari satu kawasan tertentu kepada ‘kampung sedunia’ (global village). Sifat-sifat yang baik seperti tolong menolong, sayang menyayangi dan bergotong royong baik disambungkan dan dipraktikan dalam ruang siber. Teetapi yang buruk seperti mengumpat, mencaci, membuka aib dan sebagainya juga 'terpindah' sama.

Terlalu banyak kata-kata yang menyakiti, yang lucah dan mencarut, yang mengamok, yang berbau fitnah dan sebagainya. Lelaki dan perempuan sama ‘ganasnya’ penggunaan kekata. Masuk bulan puasa pun tiada redanya. Kurang orang merokok, makan dan minum di khalayak ramai, banyak pula yang kesat laku dan kata di Facebook dalam bulan Ramadan. Tak da respect langsung.  Yang nak maki, berbakul-bakul makinya tanpa rasa malu dan segan. Yang bergaduh sesama sendiri berleretan berhari-hari dengan segala ancaman.  Kerana pendedahan umum, semakin ramai yang masuk gelanggang dan berpihak-pihak. 

Satu budaya Melayu online telah timbul. Adakah budaya ini lebih membawa kebaikkan atau keburukkan hanya masa yang menentukan. Yang pasti, apa yang tidak dapat dilakukan beberapa dekad lalu telah dapat dilakukan sekarang, terima kasih kepada teknologi Barat.

Cuma, dapatkah kita kekalkan budaya Timur dalam memanfaatkannya? Atau kecacatan kita hanya berpindah ke ruangan lain yang juga menularkan kecacatan baru? Kalau dulu harus berkumpul di dapur atau bawah pokok untuk mengumpat, sekarang hanya menaip dengan jemari sahaja. Kalau dulu yang buka aib diri dan orang hanya akan didengar beberapa orang yang berdekatan sahaja, sekarang ribuan mata boleh membacanya.


Melayu mesti ada rasa malu. Itu sebahagian identiti kita. Jangan pula rasa tidak malu ini ciri Melayu Baru.

No comments:

Post a Comment